Thursday 9 June 2011

Jelajah Royal Belum


Jelajah Royal Belum Utara

Faizul Osman


Perjalanan bermula
Selesai sahaja menyerahkan permit untuk di periksa di kem X-ray kami mula bergerak ke utara Belum. Kami menuju ke Kem Sungai Kejar sebelum memulakan treking sebelum tengahari bagi mengelakkan lewat sampai ke destinasi kami iaitu Lubuk Jelai di Sanghor. Perjalanan awal agak sukar apabila kami melalui jalan berbatu di tepi sungai sebelum masuk ke denai di dalam hutan. Selepas itu barulah perjalanan agak mudah dan melegakan walaupun hakikatnya perjalanan masih lagi jauh. Saya menanda setiap perjajalanan dengan Gps walaupun trek yang cantik sudah sedia ada dan  kami mengambil guide orang asli untuk mengemudi di hadapan. Setiap kawasan kami berehat ditanda untuk mengira berapa kali kami berhenti berehat sebelum sampai ke destinasi.























Road Block
Semasa menghampiri sungai Ketir perjalanan terbantut apabila ada sekumpulan Gajah sedang asyik memakan umbut rotan. Mujurlah Seru, Asli yang berada paling hadapan perasan akan kumpulan tersebut sebelum mereka perasankan kami. Kalau tanpa Seru sudah pasti kami tidak Nampak kehadiran gajah tersebut kerana apabila memikul beg yang berat kami lebih banyak tunduk ke bumi sahaja semasa berjalan. Oleh kerana kumpulan gajah tersebut berada di tengah-tengah hiway, kami terpaksa berundur dan mengikut jalan lain. Jalan yang saya maksudkan ialah terpaksa memanjat dua bukit sebelum masuk semula ke trek di hadapan. Bertambah jauh perjalanan kami jadinya.
Perjalanan di teruskan hinggalah akhirnya kami sampai ke Lubuk Jelai untuk membuat khemah di situ. Setelah dikira, untuk  di sini kami terpaksa berhenti rehat enam kali dan perjalanan memakan masa hampir 5jam.
Oleh kerana sampai awal, saya dan Tahir sudah mula naik ke lubuk berdekatan kerana dari pagi kami menahan gian nak baling pancing. Sungai kejar yang luas dan laju memaksa kami menggunakan sesudu seberat 16gm keatas sahaja. Jika menggunakan spoon yang lebih ringan sudah tentu ia akan hanyut dibawa arus. Semasa sampai ke sebuah jeram yang berada lebih kurang 500m (ukuran gps) dari khemah saya mula melemparkan sesudu ke kepala jeram dan mengarau sesudu mengikut arus. Tahir pula mencuba di kawasan lubuk yang tenang mengharapkan sambaran ikan yang lebih besar.
Setelah beberapa balingan sesudu saya di ragut kuat hinggakan drag dirasakan seperti tidak dikunci. Sayangnya ikan tersebut rabut semasa ia lari mengikut arus. Saya masih tertanya-tanya ikan apakah yang menyambar sesudu tersebut. Hingga ke lewat petang saya dan Tahir tidak lagi mendapat sambaran tetapi hingga ingin melelapkan mata saya masih teringatkan ikan tersebut. Takpa lah.. esok masih ada.
Trip ini berjalan selama 4hari 3 malam dan kami telah menyusun jadual pancingan supaya boleh mencuba kaedah pancingan dasar untuk mencari kelah. Sawit yang telah di jampi Syamsul salah sorang guide kami menjadi insuran pancingan dasar nanti. Pada hari kedua kami telah mengambil keputusan untuk naik ke hulu sejauh yang mungkin sambil casting dan pulang pada petangnya. Seru sekali lagi membawa kami berenam ke hulu dan hanya dua orang yang tinggal di base cam untuk menduga di lubuk berdekatan sahaja.
































Lubuk Panjang.
Sampai di lubuk panjang kami mula melemparkan sesudu di sekitar lubuk. Memandangkan lubuk tersebut panjang dan tenang airnya kami berpecah untuk mencari lokasi yang boleh mendapatkan sambaran. Kali ini sesudu Sham pula telah dicuri ikan mesteri. Sama seperti insiden yang saya hadapi semalamnya drag kekili seperti tidak berfungsi. Ikan tanpa henti membawa tali keluar dan akhirnya ikan berjaya meloloskan diri.
Kampung Kajang
Oleh kerana tiada lagi sambaran selepas insiden tersebut kami memutuskan untuk meneruskan naik lagi ke bahagian atas jeram lubuk panjang. Kami telah melalui sebuah perkampungan lama melayu yang sudah  berpuluh tahun di tinggalkan. Mengikut kata guide penduduk kampung tersebut telah dipindahkan ke kampung lain berdekatan Grik dan ada separuh dari penduduk di sana telah balik ke patani. Ini juga berlaku terhadap penduduk Kampung Belum Lama yang telah di pindahkan ke Kampung Belum Baru, Grik. Malangnya perjalanan kami tidak sampai ke Kampung Belum lama yang mana ia masih jauh ke hulu sungai berdekatan dengan sungai Merah.
Walaupun sudah tiada kesan-kesan rumah di Kampung Kajang tetapi apabila sampai di sana kami sudah dapat merasakan ia adalah sebuah kampung pada masa dahulu. Laluan di bawah hutan yang berkanopi  tiba-tiba bertukar melalui kawasan yang lapang dan berumput.  Ini yang seronoknya jika memancing di sini, kalau tiada sambaran ikan kita boleh belajar sejarah Melayu pula.
Lubuk Kajang
Sampai di lubuk kajang kami berpecah dan mencuba lagi untuk mencari trophy trip ini. Balingan demi balingan setiap dari kami masih belum di sambar monster yang di idamkan. Hanya beberapa ekor sebarau curut yang sudi meragut sesudu 20gm kami. Apabila jam sudah menunjukkan pukul 4 petang kami mengambil keputusan untuk pulang ke base camp memandangkan tiada dari kami yang membawa lampu suluh jika perjalanan berlanjutan hingga ke malam.





















Lubuk Jelai
Lain pula ceritanya berdekatan dengan base camp, Tahir yang seorang diri telah pergi semula ke jeram yang menyebabkan saya tidak lena tidur semalamnya. Beliau dengan keadaan senyap dan bersembunyi sedikit dibelakang pokok kecil di tepi jeram telah mendapat sambaran sama seperti yang saya hadapi pada hari pertama. Kali ini beliau telah bersedia dengan mata VMC 6x namun terpaksa berhempas pulas melayan ikan tersebut. Larian pertama tidak dapat di tahan apabila ikan tersebut lari mengikut arus. Beliau menggunakan tali braided Hi-Seas 2h0lb dan shock leader Quadro plus juga dari hi –seas menambahkan keyakinan untuk menhela ikan tersebut lari lebih jauh. Larian tanpa henti memaksa Tahir mengikut ikan tersebut turun ke bawah jeram yang mana airnya lebih tenang. Joran ROD FORD Venom 8-17 terpaksa bekerja keras apabila terpaksa menahan ikan lari ke reba di seberang sungai. Bukan sahaja ikan yang dah naik letih, Tahir juga keletihan semasa ikan tersebut akhirnya menyerah kalah. Mungkin inilah ikan mesteri yang menyambar sesudu saya semalam. Kami semua tumpang gembira apabila pemanis trip akhirnya memunculkan diri.

































Hari ke tiga.
Seperti yang di rancang hari ketiga kami ingin memancing dasar sepanjang hari. Kami mengidamkan kelah bersaiz mega untuk memecahkan rekod peribadi masing-masing. Dari awal pagi lagi kami memulakan pancingan dasar berdekatan khemah sahaja kerana yakin ada yang besar sedang menanti. Berumpankan sawit yang telah diperam awal lagi oleh Syamsul, kami mula menunggu dan menunggu. Umpan kerap kali ditukar kerana anak ikan sering meragut sawit tersebut hingga tinggal sabut sahaja.
Dari pagi hinggalah ke petang kami gagal mendapatkan kelah dengan saiz yang diidamkan. Kami mula berehat sahaja memandangkan esok kami terpaksa memikirkan perjalanan yang panjang untuk pulang pula.


Kesimpulan trip
Semasa menduga di sungai ini saya perhatikan kedalaman air berubah dalam masa satu hari sahaja. Arus juga menjadi agak laju walaupun hari cerah sahaja sepanjang trip. Menurut Guide kami, Angah dan Syamsul mungkin hujan di hulu menyebabkan air naik sedikit. Sebab itu semasa mendirikan khemah kami duduk berjauhan sedikit dengan sungai kerana risaukan kepala air yang mungkin turun tanpa amaran.
Walaupun perjalanan terasa jauh semasa ke Sanghor ia sebenarnya 5kilometer sahaja dari kem sungai kejar, dekat bukan? Tapi perjalanan meredah hutan belantara tidak sama seperti jalan di Bandar. Ditambah pula dengan beg yang berat setiap satu melebihi 15kg, setiap meter berkali ganda jauh dirasakan. Memandangkan jaraknya tidak berapa jauh tidak hairanlah sudah ramai yang sampai ke sana. Kalau zaman komunis dahulu hanya askar-asakar sahaja yang berani pergi ke kawasan itu. Oleh kerana ramai pelawat yang datang ada segelintir yang masih tidak  menjaga kebersihan di tepi sungai. Tapak perkemahan dibiarkan dengan sampah sarap, tepi sungai pula terdapat bekas meggi dan kotak rokok, malah ada yang meninggalkan seluar kecik di celah-celah pokok.

No comments:

Post a Comment