Ladyfish Kolam Takungan Sungai Pinang
Mungkin ada yang beranggapan Pulau Pinang yang pesat
membangun tiada spot untuk memancing sambil rileks dan bercuti. Kalau ada pun
mungkin memancing di perairan luar atau pun memancing dasar di bawah Jambatan
Pulau Pinang. Menurut Afiq yang menjadi guide saya ke sana, terdapat kolam
takungan yang dihuni berbagai ikan yang masuk dari sungai bersebelahnnya.
Air sungai bersebelahan dipam masuk ke
kolam takungan sebelum dipindahkan ke kolam udang.
|
Kolam Takungan
Kolam takungan yang terdapat di kawasan ini dibina
sebagai kolam sementara sebelum ia dipam masuk ke dalam kolam utama. Kolam
udang memerlukan air yang berkualiti baik, jadi untuk memastikan kebersihannya
pemilik kolam akan menakung dahulu air muara yang di sedut masuk. Jika air
terdapat apa-apa masalah, sudah pasti ikan di kolam takungan akan mati dahulu.
Walaupun kolam takungan ini adalah kawasan
persendirian, Afiq yang merupakan penduduk di kampung bersebelahan tiada
masalah untuk menumpang memancing di situ, dengan syarat sentiasa menjaga
kebersihan kolam. Kalau tanpa Afiq, ada kemungkinan kami tidak akan dibenarkan
masuk.
Ladyfish saiz sebegini sudah cukup
memberikan tentangan apabila menggunakan set mengilat ringan.
|
Jig yang dilontar jauh dan kemudian
dikarau perlahan menarik perhatian ladyfish.
|
Oleh kerana suka membuat loncatan, penggunaan mata tunggal lebih efektif.
|
Jig 8 gm yang lebih kecil mengundang
ikan yang lebih comel menyambar.
|
Kami tiba pada awal pagi dan air sungai bersebelahan
masih surut. Maka dengan itu pam yang akan membawa air sungai masuk juga masih
belum dihidupkan. Menurut Afiq ia bukanlah masa yang terbaik untuk mengilat
tetapi masih boleh mencuba kalau-kalau ada ikan yang menyambar.
Gewang Pilihan
Micro Jig
Melihatkan ikan yang sedang frenzy jauh dari tebing,
kami mula melontarkan jig 8-14gm untuk memastikan balingan sampai ke kawasan ia
timbul. Pada mula saya mengarau laju sebaik sahaja jig sampai ke permukaan air
kerana air di kolam ini cetek sahaja. Pada kiraan mata kasar mungkin tidak
melebihi 3 kaki. Jika dibiarkan jig seketika sahaja pun sudah sampai ke dasar.
Ada juga yang kawasan yang jig akan terus melekat ke dasar sebaik sahaja jatuh.
Ina pula melakukan teknik yang sama tetapi
karauannya perlahan sahaja. Ketika itulah jignya terus di sambar Ladyfish
pertama. Kami mengandaikan ladyfish di sini lebih menggemari jig yang dikarau
perlahan, kerana tiada sambaran untuk kami yang hanya mengarau jig dengan laju.
Pencil
Memandangkan air kolam ini cetek, penggunaan gewang
lain juga agak terhad. Kami memilih untuk menggunakan pencil selepas beberapa
kali mendapat sambaran dan lucut. Setelah
menukar kepada pencil yang lebih kecil barulah ikan melekat pada mata kail. Ia
rupanya kerja si Kerong yang turut banyak terdapat di sana. Ia turut
bersama-sama bermain di tempat yang sama dengan ladyfish yang menjadi buruan
utama kami. Selain pencil, gewang tenggelam seperti Lucky Craft Wander juga
digunakan apabila menyasarkan Kerong dan ikan yang lebih kecil seperti
Gerut-gerut.
Gewang Rattling
Gewang lain yang dirasakan sesuai untuk digunakan
ialah dari jenis gemerincing (rattling) kerana kedalaman selamannya boleh
dikawal. Ketika menggunakan gewang ini, joran diangkat tinggi sedikit agar
gewang dapat berenang di kawasan cetek walaupun dikarau secara perlahan.
Ladyfish yang tidak bermain dipermukaan air sebenarnya sedang berenang di dasar
jadi gewang ini mampu memikatnya. Ketika mengarau, gewang ini ada kalanya
terlekat pada tanah tetapi masih boleh dipersembahkan dengan baik setelah
membuat satu henjutan kuat bagi melepaskan ianya semula.
Pancing Layang
Afiq yang membawa saya ke sini sebenarnya banyak
menggunakan umpan layang untuk menduga Ladyfish. Umpan deceiver warna putih
merupakan kegemaran Ladyfish kerana ia meniru renangan anak-anak ikan belanak.
Untuk pancingan layang, Afiq lebih gemar menunggu air pasang iaitu ketika pam
dibuka. Biasanya sebaik sahaja pam
menyedut air sungai bersebelahan dibuka dan air mula masuk ke dalam kolam,
ladyfish akan mula kelihatan mengejar-ngejar anak belanak. Jarak ia timbul juga
berhampiran tebing memudahkan untuk melontar pancing layang. Ketika ini juga,
balingan gewang-gewang yang digunakan seperti di atas mudah mendapat sambaran.
Potensi
Kolam ini adalah kolam persendirian dan tidak semua
orang boleh memancing di situ. Mungkin dengan meminta kebenaran tuan kolam anda
boleh menduganya. Dengan adanya kolam
sebegini sudah pasti akan saya lawati jika pergi bercuti ke Pulau Pinang. Ia
boleh dijadikan spot memancing yang santai sambil-sambil anda melancong ke
sana. Selain itu saya amat tertarik dengan kedai makan gulai claypot yang
menyediakan lauk seperti ikan jenahak, sembilang dan juga pari yang terletak di
Sungai Pinang. Sepanjang kami memancing di sana, kami tidak melepaskan peluang
untuk menikmati hidangan lazat ini setelah seharian berjemur di tepi kolam.
Salam..er....nk mancing sini kne mintak kebenaran sape bos?
ReplyDeletesalam, nak tanya...kalau nak mancing dekat sni cmne ...nk kna minta kbenaran siapa ye...
ReplyDelete