Thursday 20 August 2015

Ladyfish Kolam Takungan Sungai Pinang

Ladyfish Kolam Takungan Sungai Pinang

Mungkin ada yang beranggapan Pulau Pinang yang pesat membangun tiada spot untuk memancing sambil rileks dan bercuti. Kalau ada pun mungkin memancing di perairan luar atau pun memancing dasar di bawah Jambatan Pulau Pinang. Menurut Afiq yang menjadi guide saya ke sana, terdapat kolam takungan yang dihuni berbagai ikan yang masuk dari sungai bersebelahnnya.

Air sungai bersebelahan dipam masuk ke kolam takungan sebelum dipindahkan ke kolam udang.


Kolam Takungan
Kolam takungan yang terdapat di kawasan ini dibina sebagai kolam sementara sebelum ia dipam masuk ke dalam kolam utama. Kolam udang memerlukan air yang berkualiti baik, jadi untuk memastikan kebersihannya pemilik kolam akan menakung dahulu air muara yang di sedut masuk. Jika air terdapat apa-apa masalah, sudah pasti ikan di kolam takungan akan mati dahulu.


Walaupun kolam takungan ini adalah kawasan persendirian, Afiq yang merupakan penduduk di kampung bersebelahan tiada masalah untuk menumpang memancing di situ, dengan syarat sentiasa menjaga kebersihan kolam. Kalau tanpa Afiq, ada kemungkinan kami tidak akan dibenarkan masuk.

Ladyfish saiz sebegini sudah cukup memberikan tentangan apabila menggunakan set mengilat ringan.

Jig yang dilontar jauh dan kemudian dikarau perlahan menarik perhatian ladyfish.

 Oleh kerana suka membuat loncatan, penggunaan mata tunggal lebih efektif.

Jig 8 gm yang lebih kecil mengundang ikan yang lebih comel menyambar.


Kami tiba pada awal pagi dan air sungai bersebelahan masih surut. Maka dengan itu pam yang akan membawa air sungai masuk juga masih belum dihidupkan. Menurut Afiq ia bukanlah masa yang terbaik untuk mengilat tetapi masih boleh mencuba kalau-kalau ada ikan yang menyambar.

Gewang Pilihan
Micro Jig
Melihatkan ikan yang sedang frenzy jauh dari tebing, kami mula melontarkan jig 8-14gm untuk memastikan balingan sampai ke kawasan ia timbul. Pada mula saya mengarau laju sebaik sahaja jig sampai ke permukaan air kerana air di kolam ini cetek sahaja. Pada kiraan mata kasar mungkin tidak melebihi 3 kaki. Jika dibiarkan jig seketika sahaja pun sudah sampai ke dasar. Ada juga yang kawasan yang jig akan terus melekat ke dasar sebaik sahaja jatuh.
Ina pula melakukan teknik yang sama tetapi karauannya perlahan sahaja. Ketika itulah jignya terus di sambar Ladyfish pertama. Kami mengandaikan ladyfish di sini lebih menggemari jig yang dikarau perlahan, kerana tiada sambaran untuk kami yang hanya mengarau jig dengan laju.









Pencil
Memandangkan air kolam ini cetek, penggunaan gewang lain juga agak terhad. Kami memilih untuk menggunakan pencil selepas beberapa kali mendapat sambaran dan lucut.  Setelah menukar kepada pencil yang lebih kecil barulah ikan melekat pada mata kail. Ia rupanya kerja si Kerong yang turut banyak terdapat di sana. Ia turut bersama-sama bermain di tempat yang sama dengan ladyfish yang menjadi buruan utama kami. Selain pencil, gewang tenggelam seperti Lucky Craft Wander juga digunakan apabila menyasarkan Kerong dan ikan yang lebih kecil seperti Gerut-gerut.

Gewang Rattling
Gewang lain yang dirasakan sesuai untuk digunakan ialah dari jenis gemerincing (rattling) kerana kedalaman selamannya boleh dikawal. Ketika menggunakan gewang ini, joran diangkat tinggi sedikit agar gewang dapat berenang di kawasan cetek walaupun dikarau secara perlahan. Ladyfish yang tidak bermain dipermukaan air sebenarnya sedang berenang di dasar jadi gewang ini mampu memikatnya. Ketika mengarau, gewang ini ada kalanya terlekat pada tanah tetapi masih boleh dipersembahkan dengan baik setelah membuat satu henjutan kuat bagi melepaskan ianya semula.

Pancing Layang
Afiq yang membawa saya ke sini sebenarnya banyak menggunakan umpan layang untuk menduga Ladyfish. Umpan deceiver warna putih merupakan kegemaran Ladyfish kerana ia meniru renangan anak-anak ikan belanak. Untuk pancingan layang, Afiq lebih gemar menunggu air pasang iaitu ketika pam dibuka.  Biasanya sebaik sahaja pam menyedut air sungai bersebelahan dibuka dan air mula masuk ke dalam kolam, ladyfish akan mula kelihatan mengejar-ngejar anak belanak. Jarak ia timbul juga berhampiran tebing memudahkan untuk melontar pancing layang. Ketika ini juga, balingan gewang-gewang yang digunakan seperti di atas mudah mendapat sambaran.

Potensi

Kolam ini adalah kolam persendirian dan tidak semua orang boleh memancing di situ. Mungkin dengan meminta kebenaran tuan kolam anda boleh menduganya.  Dengan adanya kolam sebegini sudah pasti akan saya lawati jika pergi bercuti ke Pulau Pinang. Ia boleh dijadikan spot memancing yang santai sambil-sambil anda melancong ke sana. Selain itu saya amat tertarik dengan kedai makan gulai claypot yang menyediakan lauk seperti ikan jenahak, sembilang dan juga pari yang terletak di Sungai Pinang. Sepanjang kami memancing di sana, kami tidak melepaskan peluang untuk menikmati hidangan lazat ini setelah seharian berjemur di tepi kolam.

2 comments:

  1. Salam..er....nk mancing sini kne mintak kebenaran sape bos?

    ReplyDelete
  2. salam, nak tanya...kalau nak mancing dekat sni cmne ...nk kna minta kbenaran siapa ye...

    ReplyDelete